Friday, 26 May 2017

Ciri-ciri Refleksi

Ciri-ciri Refleksi

(a)  Proses Sistematik 
- Proses refleksi ialah proses yang sistematik , mengingati kembali dari ingatan pengalaman-pengalaman yang telah berlalu. Dalam proses sistematik ini, guru-guru memahami dan menjelaskan proses-proses yang berlaku dari awal hingga akhir bagi sesuatu kejadian supaya mendapat pengertian dan pemahaman pembelajaran yang baru. Contohnya, mengingati kembali dan memahami apa yang berlaku ketika mengajar, apa yang berlaku di minda guru-guru dan reaksi murid-murid pada setiap langkah pengajaran. 

(b)  Bukti Penambahbaikan 
-Refleksi juga dapat menyediakan bukti dan pengetahuan teknikal untuk meramal penyelesaian efektif untuk proses-proses penambahbaikan. Selepas mengajar sesuatu pelajaran, guru-guru perlu menganalisis aktiviti pembelajaran untuk menunjukkan hasil positif dan negatif. Contohnya, dalam sesuatu keadaan pembelajaran dan pengajaran, perkara-perkara yang perlu dielakkan dan langkah-langkah yang diteruskan apabila sesuatu pelajaran diulangi perlu diberi penekanan.

(c) Pengetahuan Gerak Hati
 -Refleksi melibatkan penggunaan pengetahuan gerak hati. Dalam proses refleksi, pembelajaran berlaku melalui teknik inkuiri. Mengikut pengetahuan gerak hati, guru-guru sentiasa dapat membuat perubahan dan pembaharuan kepada proses pengajaran. 

d)  Meramal Akibat
-Refleksi membolehkan guru-guru menjangka hasil sesuatu tindakan dan membuat perancangan awal. Guru-guru dapat meramalkan tentang segala perubahan dan hasil pembelajaran kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang murid-murid mereka. 

e)  Menjana Idea-Idea Baru 
-Refleksi membantu guru-guru merangka semula pengetahuan teori yang lampau dengan menggunakan pengertian baru untuk mengubah pengajaran mereka. Oleh yang demikian, guru-guru boleh menjana idea-idea yang baru untuk diterapkan dalam pengajaran selepas pengalaman praktikal mereka. 

(f)  Berfikir Secara Kritikal 
-Refleksi adalah proses pemikiran kritikal pelbagai faktor yang mempengaruhi pengajaran guru-guru di dalam kelas. Dalam proses pemikiran kritikal, guru-guru perlu membuat pengubahsuaian kepada pengetahuan yang diperolehi daripada langkah-langkah pengajaran yang berlaku di dalam kelas. Guru-guru juga perlu membuat perubahan secara langsung apabila keadaaan yang tidak dijangka berlaku ketika mereka mengajar. 

(g)  Amalan Etika 
-Refleksi adalah suatu proses yang menghargai dan menghormati semua orang. Terdapat satu kod amalan etika yang perlu diikuti oleh semua guru yang terlibat dalam amalan refleksi. Semua aktiviti professional dan peribadi dijalankan dengan sikap mengambil berat dan toleransi. 

(h)  Proses  Aktif 
-Refleksi adalah proses aktif mengingat kembali, menganalisis dan mencari penyelesaian kepada masalah. Menurut Schon (1983), ini dibuat melalui refleksi dengan cara-cara yang berikut:-

1.Refleksi Semasa Pengajaran - Merujuk kepada pemikiran langsung mengenai apa yang dilakukan oleh guru-guru ketika mereka mengajar. Guru-guru melaksanakan pelan tindakan pengajaran berasaskan  teori-teori yang pernah dipelajari.

2. Refleksi Selepas Pengajaran - Refleksi dilakukan  selepas sesuatu pengajaran dilaksanakan dan ia membolehkan guru-guru memahami apa yang telah dilakukan dan reaksi murid-murid terhadapnya. Ini menjana beberapa persoalan dan idea-idea mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan ketika guru-guru mengajar.

3. Refleksi Tindakan Susulan - Refleksi  ini diamalkan  selepas pengajaran apabila guru-guru menilai dan membuat kesimpulan mengenai implikasi untuk tindakan selanjutnya seperti membentuk satu  pelan tindakan baru untuk pengajaran. Ciri-ciri tersebut wujud apabila guru-guru menjadikan refleksi sebagai suatu aspek amalan praktikal pengajaran. Ia memanfaatkan guru-guru dalam pelbagai cara.

No comments:

Post a Comment