Friday, 26 May 2017

Definisi Refleksi

Dalam bukunya How We Think (1933), Dewey menghuraikan pemikiran refleksi sebagai satu cara menghadapi situasi bermasalah. Seseorang itu akan melalui proses aktif dan sedar dengan memikirkan masalah secara refleksi dan menyelesaikannya secara praktik. Dewey (1933) mendefinisikan pemikiran refleksi sebagai "active, persistent, and careful consideration of any belief or supposed form of knowledge in the light of the grounds that support it and the further conclusions to which it tends" (p. 9). Dengan berfikir secara refleksi, seseorang boleh "transform a situation in which there is experienced obscurity, doubt, conflict, disturbance of some sort, into a situation that is clear, coherent, settled, harmonious" (pp. 100–101). Dengan erti kata lain, seseorang boleh mengubah suatu keadaan keraguan, konflik, dan gangguan yang dialami kepada keadaan yang nyata, koheren, tenang dan harmonis. Menurut Dewey proses manusia berfikir bermula dengan permasalahan yang dihadapinya atau keraguan yang dirasai atau dihadapi seseorang. Selagi hubungan kita dengan persekitaran berada dalam keadaan selesa, kita tidak berfikir sepenuhnya. Apabila kita berhadapan dengan situasi yang tidak selesa, bermasalah dan berlainan daripada kebiasaan kita mula berfikir secara reflektif untuk mencari penyelesaiannya. Maka terbitlah idea-idea atau cadangan –cadangan bagi mencari jalan keluar.

Munurut Hanipah (2004) refleksi mengikut sesetengah orang adalah satu ulasan terhadap amalan seseorang untuk memastikan ketepatan atau keakurannya kepada satu-satu peraturan yang telah ditentukan. Refleksi juga boleh dilihat sebagai menjadikan satu situasi bermasalah dalam amalan seseorang itu sebagai satu cara memperoleh pemahaman atau pengertian baru dalam amalannya. Hanipah juga mendefinisikan refleksi sebagai satu proses merenung, menganalisis dan mencari alasan dan seterusnya membuat cadangan dan tindakan untuk memperbaiki diri yang dilakukan secara berterusan. Dalam konteks perguruan, kebolehan membuat tranformasi dan refleksi membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baru hasil daripada apa yang boleh dilaluinya. Menurut Shulman (1987) dalam konteks perguruan, kebolehan membuat transformasi dan refleksi membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baru hasil daripada apa yang telah dilaluinya.

Amalan refleksi ini diperkenalkan oleh Donald Schon dalam bukunya “The Reflective Practitioner” dalam  tahun 1983. Menurut beliau, amalan reflekesi merangkumi pengalaman dalam minda apabila menggunakan pengetahuan teori yang berubah menjadi aplikasi praktikal. Secara amnya, refleksi adalah pengalaman hidup peribadi seseorang itu.

Guru membuat refleksi pembelajaran.

Proses Refleksi

Tujuan Refleksi dalam Pembelajaran

Kegiatan refleksi dalam pembelajaran mempunyai tujuan penting iaitu:

1. Untuk mengetahui sejauh mana minat murid terhadap pembelajaran
2. Untuk mengetahui tahap keberkesanan strategi, model, pendekatan dan teknik pembelajaran yang diterapkan oleh guru
3. Untuk mengetahui keinginan murid secara terperinci supaya guru dapat merancang pembelajaran yang lebih baik
4. Untuk mengetahui kekurangan atau kelemahan guru dalam penguasaan kelas

Proses/ langkah kegiatan refleksi

Kegiatan refleksi dilaksanakan mengikuti langkah-langkah berikut:

1. Guru membahagikan kertas sebagai instrumen refleksi
2. Murid menulis maklumat diri mereka
3. Murid mengucapkan penghargaan kepada guru mereka di atas perjuangan dan usaha guru mengajar mereka
4. Murid memberi pandangan terhadap pembelajaran pada hari tersebut
5. Murid memberi kata-kata positif kepada guru mereka
6. Murid menyuarakan harapan, keinginan, dan keperluan yang telah tercapai atau belum sepanjang proses pembelajaran
7. Murid mencatatkan hasil refleksi dan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh guru di bahagian penutup.
8. Murid mengumpul instrumen refleksi
9. Guru membaca hasil refleksi dan melakukan refleksi untuk pengajaran seterusnya.


Terdapat beberapa model untuk menjalankan refleksi. Contohnya, model tiga langkah, iaitu RANCANG, BUAT dan NILAI seperti yang dicadangkan oleh Greenway (1988) boleh digunakan untuk menjalankan refleksi dalam sistem sekolah. 

-Model oleh Johnson (1998)
Enam tahap seperti berikut : 

 1. Tahap Pemahaman - Guru-guru memahami konsep pedagogi atau teori yang akan digunakan dalam bilik darjah. Contohnya, guru perlu memahami teknik-teknik dan kaedah-kaedah kumpulan koperatif sebagai satu  strategi pengajaran.

2. Tahap Transformasi - Dalam tahap transformasi, guru akan melaksanakan pengajaran dengan sesuatu konsep atau prinsip di dalam kelas. Contohnya, guru menyediakan rancangan pelajaran harian dengan menjelaskan langkah-langkah kaedah koperatif secara terperinci.

3. Tahap Pelaksanaan - Dalam tahap ini, guru akan melaksanakan pengajaran dengan melaksanakan segala langkah-langkah dan prosedur yang disarankan dalam kaedah koperatif. Guru akan membahagikan murid-murid kepada kumpulan-kumpulan yang kecil untuk menyelesaikan masalah pembelajaran yang ditetapkan oleh guru. 

4. Tahap Penilaian - Guru menilai pelaksanaan kaedah koperatif langkah demi langkah dengan mengingati kembali pelajaran yang disampaikan. Beliau juga akan membuat catatan dalam buku jurnal mengenai prosedur-prosedur yang diambilnya dalam bilik darjah semasa melaksanakan kaedah koperatif dan menilai pencapaian setiap langkah pelaksanaan dalam kaedah pengajaran ini. 

5. Tahap Refleksi - Guru mempersoalkan diri tentang pengajaran yang dilaksanakan dan merujuk kepada catatan-catatan di dalam buku jurnal serta mengimbas kembali mengenai respon dan emosi para murid semasa beliau melaksanakan pengajarannya dengan menggunakan kaedah koperatif. 



6. Tahap Pemahaman Baru - Dalam tahap ini, guru mendapat pengertian baru daripada pengalaman pengajaran dengan menggunakan kaedah koperatif. Beliau akan memperbaiki rancangan pelajaran harian yang menerapkan kaedah koperatif untuk mengatasi segala kelemahan yang timbul semasa melaksanakan kaedah ini.

Ciri-ciri Refleksi

Ciri-ciri Refleksi

(a)  Proses Sistematik 
- Proses refleksi ialah proses yang sistematik , mengingati kembali dari ingatan pengalaman-pengalaman yang telah berlalu. Dalam proses sistematik ini, guru-guru memahami dan menjelaskan proses-proses yang berlaku dari awal hingga akhir bagi sesuatu kejadian supaya mendapat pengertian dan pemahaman pembelajaran yang baru. Contohnya, mengingati kembali dan memahami apa yang berlaku ketika mengajar, apa yang berlaku di minda guru-guru dan reaksi murid-murid pada setiap langkah pengajaran. 

(b)  Bukti Penambahbaikan 
-Refleksi juga dapat menyediakan bukti dan pengetahuan teknikal untuk meramal penyelesaian efektif untuk proses-proses penambahbaikan. Selepas mengajar sesuatu pelajaran, guru-guru perlu menganalisis aktiviti pembelajaran untuk menunjukkan hasil positif dan negatif. Contohnya, dalam sesuatu keadaan pembelajaran dan pengajaran, perkara-perkara yang perlu dielakkan dan langkah-langkah yang diteruskan apabila sesuatu pelajaran diulangi perlu diberi penekanan.

(c) Pengetahuan Gerak Hati
 -Refleksi melibatkan penggunaan pengetahuan gerak hati. Dalam proses refleksi, pembelajaran berlaku melalui teknik inkuiri. Mengikut pengetahuan gerak hati, guru-guru sentiasa dapat membuat perubahan dan pembaharuan kepada proses pengajaran. 

d)  Meramal Akibat
-Refleksi membolehkan guru-guru menjangka hasil sesuatu tindakan dan membuat perancangan awal. Guru-guru dapat meramalkan tentang segala perubahan dan hasil pembelajaran kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang murid-murid mereka. 

e)  Menjana Idea-Idea Baru 
-Refleksi membantu guru-guru merangka semula pengetahuan teori yang lampau dengan menggunakan pengertian baru untuk mengubah pengajaran mereka. Oleh yang demikian, guru-guru boleh menjana idea-idea yang baru untuk diterapkan dalam pengajaran selepas pengalaman praktikal mereka. 

(f)  Berfikir Secara Kritikal 
-Refleksi adalah proses pemikiran kritikal pelbagai faktor yang mempengaruhi pengajaran guru-guru di dalam kelas. Dalam proses pemikiran kritikal, guru-guru perlu membuat pengubahsuaian kepada pengetahuan yang diperolehi daripada langkah-langkah pengajaran yang berlaku di dalam kelas. Guru-guru juga perlu membuat perubahan secara langsung apabila keadaaan yang tidak dijangka berlaku ketika mereka mengajar. 

(g)  Amalan Etika 
-Refleksi adalah suatu proses yang menghargai dan menghormati semua orang. Terdapat satu kod amalan etika yang perlu diikuti oleh semua guru yang terlibat dalam amalan refleksi. Semua aktiviti professional dan peribadi dijalankan dengan sikap mengambil berat dan toleransi. 

(h)  Proses  Aktif 
-Refleksi adalah proses aktif mengingat kembali, menganalisis dan mencari penyelesaian kepada masalah. Menurut Schon (1983), ini dibuat melalui refleksi dengan cara-cara yang berikut:-

1.Refleksi Semasa Pengajaran - Merujuk kepada pemikiran langsung mengenai apa yang dilakukan oleh guru-guru ketika mereka mengajar. Guru-guru melaksanakan pelan tindakan pengajaran berasaskan  teori-teori yang pernah dipelajari.

2. Refleksi Selepas Pengajaran - Refleksi dilakukan  selepas sesuatu pengajaran dilaksanakan dan ia membolehkan guru-guru memahami apa yang telah dilakukan dan reaksi murid-murid terhadapnya. Ini menjana beberapa persoalan dan idea-idea mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan ketika guru-guru mengajar.

3. Refleksi Tindakan Susulan - Refleksi  ini diamalkan  selepas pengajaran apabila guru-guru menilai dan membuat kesimpulan mengenai implikasi untuk tindakan selanjutnya seperti membentuk satu  pelan tindakan baru untuk pengajaran. Ciri-ciri tersebut wujud apabila guru-guru menjadikan refleksi sebagai suatu aspek amalan praktikal pengajaran. Ia memanfaatkan guru-guru dalam pelbagai cara.

Kepentingan Refleksi

Kepentingan Refleksi

Antara kepentingan refleksi ialah guru permulaan boleh dibantu melaksanakan refleksi dan mempelajari nilai refleksi dalam pengajaran dan pembelajaran pembelajaran. Selain itu, sama ada di dalam atau pun di luar negara, kita melihat seperti telah berkembang suatu budaya di mana bakal guru digalakkan untuk mempraktikkan amalan refleksi sebagai satu cara membuat penilaian kendiri. Calderhead (1989) yang mengkaji hasil kerja Handal dan Lauvas merumuskan bahawa amalan refleksi dalam pengajaran membolehkan seseorang menilai keberkesanan dirinya sebagai guru dan menyoal tujuannya. Saranan ini selaras dengan pandangan yang menganggap bahawa amalan refleksi memberi peluang kepada kita untuk menyiasat secara kritis kepercayaan, anggapan-anggapan yang tersirat, amalan pengajaran dan akibat amalan pengajaran tersebut (Dewey, 1933; Schon, 1987). 

Bagi John Dewey (1933), seseorang yang mengamalkan pemikiran reflektif akan terhindar daripada bersifat impulsive. Seseorang yang reflektif adalah lebih berhati-hati dan ini membolehkan guru membuat keputusan dalam proses pendidikan. Seterusnya, pandangan tentang terdapatnya kata sepakat bahawa amalan reflektif membawa ke arah pertumbuhan profesional (Van Manen, 1977), menyokong pandangan Wildman, et al, (1990). Kepentingan amalan reflektif ini juga ditegaskan oleh Steffy B.E, et al., (2000 ) yang menyatakan bahawa adalah sukar untuk mencapai pertumbuhan profesional tanpa amalan reflektif dalam karier seorang guru. Seterusnya amalan reflektif juga membolehkan guru menjadi self-directed, iaitu mempunyai tanggungjawab terhadap perkembangan kendiri. 

Pandangan lain menjelaskan bahawa amalan reflektif menghasilkan kemajuan kepada bakal guru melalui peringkat-peringkat perkembangan kognitif, perkembangan dari guru pelatih kepada guru terlatih dan membolehkan mereka menganggap pengajaran dari perspektif yang lebih interpretif dan kritikal . Ringkasnya, dalam belajar mengajar, refleksi membolehkan seseorang guru:
 • membuat penilaian kendiri
 • berfikir secara analitik, kritis dan kreatif
 • menganalisis perkara-perkara penting proses bekerja dan hasil kerja 
 • melihat alternatif-alternatif dalam membuat keputusan
 • mencari jalan penyelesaian berasaskan ciri-ciri spiritual, moral, nilai & estetika 
 • mengubah tingkahlaku

Sambutan Hari Raya Peringkat Sekolah

Contoh Komen Guru Pembimbing yang Boleh dijadikan refleksi.
Ceramah mengenai pelajar dan refleksi.

Bibliografi

Donald A Schon, (1983). The Reflective Practitioner. New York: Ashgate Publishing.

John Dewey (1933). How We Think. New York : Cosimo Classics,Inc.

Hanipah Hussin. (2004). Learning to be reflective: From theory to practices Malaysia experiences. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.